KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menegaskan serangan balas negara itu ke atas Russia sudah mula dilaksanakan.
Kenyataan itu dibuat ketika Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau melakukan lawatan ke Kyiv.
Pemimpin Kanada itu juga dikatakan mengkritik Russia berhubung limpahan air tidak terkawal dari Empangan Kakhovka akibat sebahagian strukturnya pecah.
Zelensky dalam sidang akhbar bersama Trudeau di Kyiv mengesahkan serangan balas dan tindakan pertahanan sedang berlaku di Ukraine.
“Saya tidak dapat mendedahkan secara terperinci pada tahap mana serangan balas itu,” katanya.
Zelensky mengulas kenyataan Presiden Russia, Vladimir Putin yang mendakwa serangan balas Kyiv sudah lama gagal.
Sebelum ini, Russia mendakwa berjaya mematahkan serangan Ukraine di timur dan selatan.
“Amat menarik dengan apa yang Putin katakan mengenai serangan balas Ukraine.
“Pada pandangan saya, ia amat penting Russia sentiasa merasakan bahawa mereka tidak akan dapat bertahan lama lagi,” katanya.
Tambah Zelensky, beliau berhubung dengan komander tentera termasuk ketua tentera, Valery Zaluzhny hampir setiap hari dan semua pihak dalam keadaan amat positif ketika ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai tindakan enggan menyalahkan Russia atas kemusnahan empangan itu, Trudeau berkata, siasatan masih berjalan.
“Saya tahu terdapat siasatan dan banyak persoalan dan risikan sedang dianalisis mengenai apa sebenarnya berlaku sehingga empangan itu pecah.
“Namun, yang pastinya jika pencerobohan Russia tidak berlaku pada Februari lalu, sudah tentu empangan itu masih berada dalam keadaan baik sehingga kini,” katanya. – AFP