Tragedi kereta api bertembung: Tiada unsur sabotaj

Tragedi kereta api bertembung: Tiada unsur sabotaj

PASUKAN polis memeriksa gerabak kereta api yang bertembung di Odisha. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BHUBANESWAR: Laporan keselamatan landasan kereta api kerajaan India bagi tahun 2019-2020 menunjukkan kebanyakan insiden tergelincir di negara ini disebabkan oleh keadaan landasan yang uzur.

Hanya sembilan insiden kereta api tergelincir dari landasan yang diakibatkan oleh masalah pada gerabak.

Landasan yang merupakan komponen utama perkhidmatan pengangkutan itu memerlukan pemeriksaan dan penjagaan teliti bagi memastikan kelancaran serta keselamatan.

Siasatan awal menunjukkan kemalangan kereta api terburuk di India yang mengorbankan lebih 300 nyawa kelmarin kemungkinan berpunca daripada kegagalan isyarat.

Laporan yang dikeluarkan mendakwa tren Coromandel Express Howrah-Chennai memasuki laluan kereta api berlainan di Balasore disebabkan kesilapan isyarat.

KEBIMBANGAN KESELAMATAN MENINGKAT

Hasil siasatan pegawai kanan pengurusan kereta api mendedahkan, kesilapan teknikal mungkin menyebabkan tren Coromandel Express memasuki laluan kereta api kargo yang diparkir di lokasi itu, mengakibatkan tiga kereta api bertembung di daerah Balasore, Odisha.

Perdana Menteri, Narendra Modi yang melawat lokasi nahas dan mangsa di hospital turut memberi amaran hukuman berat akan dikenakan terhadap individu yang didapati bersalah mencetus nahas ngeri itu.

Beliau berkata, kerajaan akan menanggung kos rawatan mangsa yang terselamat dan memberi pampasan sebanyak 200 ribu rupee (RM11,107) kepada mereka yang cedera parah dan 50,000 rupee (RM2,776) kepada yang mengalami luka ringan.

Wang pampasan sebanyak 1 juta rupee (RM 55,586) pula akan diberikan kepada keluarga mangsa yang maut dalam tragedi itu.

Beliau juga sempat memuji rakyat yang turut bertungkus lumus membantu operasi menyelamat dan ratusan anak muda yang sanggup beratur panjang untuk menderma darah di hospital tempatan selepas kemalangan berlaku.

Kejadian itu mencetuskan kebimbangan baharu terhadap tahap piawaian keselamatan dan keadaan infrastruktur kereta api di India ketika negara itu berusaha menaik taraf perkhidmatan tersebut.

Sistem kereta api India yang luas, terkenal sebagai salah satu yang terbesar di dunia, mengangkut lebih 25 juta penumpang setiap tahun merentasi rangkaian trek seluruh negara yang menjangkau lebih 100,000 kilometer (km).

Menurut Menteri Kereta Api, Ashwini Vaishnaw, kira-kira 5,200 km landasan baharu dipasang tahun lepas termasuk 8,000 km trek yang dinaik taraf setiap tahun.

Vaishnaw baru-baru ini mendedahkan, majoriti trek sedang menjalani proses pembaikan untuk menampung kereta api yang berjalan pada kelajuan sehingga 100 kilometer sejam dan segmen penting sedang disediakan untuk kelajuan tinggi sehingga 160 kilometer sejam.

Usaha tersebut adalah sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk membangunkan perkhidmatan kereta api lebih pantas di seluruh negara dengan laluan berkelajuan tinggi sedang dibina antara ibu kota kewangan Mumbai dan bandar Ahmedabad.

“Insiden kereta api tergelincir ditakuti terus menjadi masalah yang sering menghantui perkhidmatan pengangkutan yang paling banyak digunakan di negara ini,” kata bekas pengerusi Lembaga Kereta Api, Vivek Sahai.

KEMALANGAN MENINGKAT

Laporan keselamatan oleh kerajaan mendapati insiden gerabak tergelincir merupakan punca kepada lebih 70 peratus kemalangan kereta api di negara itu.

Terdapat banyak perbincangan mengenai peranti anti-perlanggaran yang perlu dipasang pada semua kereta api di India, tetapi sistem itu kini hanya digunakan di dua laluan utama antara Delhi dengan Kolkata dan Mumbai.

Pada 2010 lebih 150 orang terbunuh apabila sebuah kereta api penumpang tergelincir dan bertembung dengan sebuah tren kargo di Bengal Barat.

Penyiasat berkata, pemberontak Maoist bertindak mensabotaj trek menyebabkan kereta api penumpang Kolkata-Mumbai tergelincir sebelum lima gerabaknya memasuki laluan kereta api yang sedang berjalan.

Namun sehingga kini, belum terdapat sebarang tanda-tanda sabotaj dalam kemalangan terbaharu yang berlaku Jumaat lalu.

Menurut statistik terbaharu, jumlah kemalangan kereta api meningkat kepada 48 sepanjang 2022 hingga 31 Mei lalu.

Pihak berkuasa kereta api mengakui bimbang dengan peningkatan angka kemalangan, itu dan sudah meminta pihak pengurusan untuk menganalisis secara kritikal waktu kerja kru yang dilaporkan terlalu panjang terutamanya di Keretapi Pantai Timur yang menjadi lokasi nahas terbaharu itu serta laluan di tenggara.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya