LONDON: Penggubal undang-undang Britain mengundi berhubung satu laporan jawatankuasa mendapati Boris Johnson sengaja berbohong kepada Parlimen mengenai penganjuran parti sosial yang melanggar sekatan Covid-19 ketika menjadi perdana menteri.
Pengundian itu diadakan ketika Johnson menyambut ulang tahun ke-59, di tengah-tengah sekutunya menjangkakan bekas pemimpin itu bakal bertanding semula dalam pilihan raya umum.
Proses itu dilaksanakan ketika kerajaan parti Konservatif pimpinan Rishi Sunak berdepan masalah politik disebabkan inflasi tinggi dan kadar faedah yang sering meningkat sehingga menimbulkan beban kepada rakyat.
Johnson mungkin berdepan penggantungan selama 90 hari dan penghinaan kerana terpaksa bertanding semula dalam pemilihan di kawasan Parlimennya.
Pada 9 Jun lalu, Johnson meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen selepas dikatakan menerima salinan laporan awal jawatankuasa itu.
Laporan setebal 106 muka surat dikeluarkan Jawatankuasa Khas menetapkan keanggotaan Johnson wajar digantung selama 90 hari kerana melakukan ‘penghinaan’ berulang kali dan cuba menjejaskan proses Parlimen.
Bagaimanapun, Johnson menolak laporan itu, dengan mendakwa beliau dijadikan mangsa politik oleh pihak lawannya.
Malah, beliau juga mengecam jawatankuasa yang dipengerusikan oleh veteran pembangkang, Ahli Parlimen Parti Buruh, Harriet Harmen sebagai `mahkamah kanggaru’.
Sebelum ini, Johnson yang mengetuai parti Konservatif, berjaya meraih kemenangan besar dalam pilihan raya umum lalu pada Disember 2019.
Bagaimanapun, pada Julai tahun lalu, beliau terpaksa meletak jawatan sebagai perdana menteri disebabkan isu partygate dan rentetan skandal yang lain.
Skandal partygate menyaksikan Johnson bersama puluhan pegawai kerajaan didenda kerana melanggar peraturan penjarakan sosial dilaksanakan untuk membendung penularan Covid-19.
Ia turut mengakibatkan kejatuhan Johnson serta mencalarkan imejnya, selain mencetuskan ‘pemberontakan’ dalam kalangan menteri yang memaksanya untuk meletak jawatan pada Julai 2022. – AFP /AGENSI










