MOSCOW: Menteri Pertahanan Russia, Sergei Shoigu menggesa meningkatkan pengeluaran kereta kebal bagi memenuhi keperluan tentera negara itu di Ukraine.
Gesaan itu dibuat selepas Kyiv melancarkan serangan balas dengan menggunakan senjata negara Barat.
Shoigu membuat kenyataan itu ketika mengadakan lawatan ke kilang pembekal senjata di barat Siberia.
Beliau menekankan keperluan untuk mengekalkan pengeluaran kereta kebal yang banyak selain ciri keselamatan lebih baik dalam kenderaan berperisai berkenaan.
Menurut Shoigu, langkah itu amat penting untuk memenuhi keperluan pasukan tentera Russia yang menjalankan operasi ketenteraan khas di Ukraine.
Dilaporkan, operasi ketenteraan Russia dilancarkan di Ukraine pada Februari tahun lalu.
Sebelum ini, Russia mendakwa serangan balas Ukraine gagal.
Namun, Kyiv mendakwa menerusi serangan dilancarkannya, pihaknya berjaya merampas semula beberapa kawasan dan wilayah seluas kira-kira 100 kilometer persegi terutamanya di bahagian hadapan selatan. – AFP