THAILAND, 23 Jun – Beribu-ribu ikan ditemui mati di pantai wilayah Chumphon di selatan Thailand dipercayai akibat pembiakan plankton yang berlaku ekoran perubahan iklim.
Timbalan Dekan Fakulti Perikanan di Universiti Kasetsart, Thon Thamrongnawasawat mengaitkan kematian ikan itu dengan ‘plankton bloom’ yang membawa kepada penurunan paras oksigen di dalam air dan menyebabkan ikan sukar bernafas.
“Pelbagai fenomena semula jadi, seperti pelunturan karang atau pembiakan plankton tumbuh secara semula jadi sejak puluhan ribu tahun.
“Bagaimanapun, apabila pemanasan global berlaku, ia semakin menggalakkan dan meningkatkan kekerapan fenomena sedia ada,” katanya.
Menurut pihak berkuasa tempatan, plankton bloom berlaku satu atau dua kali setahun dan biasanya mengambil masa sekitar dua hingga tiga hari.
Pegawai marin dilaporkan sudah mengumpulkan sampel air laut untuk penilaian dan analisis lanjut berkaitan fenomena itu.
Di seluruh dunia, gelombang haba marin semakin membimbangkan dengan beribu-ribu ikan turut dilaporkan mati di kawasan pantai di Texas dan pakar memberi amaran tentang fenomena algae bloom di sepanjang pantai Britain akibat peningkatan suhu laut.
Menurut Pejabat Meteorologi Britain, suhu permukaan laut global mencatatkan rekod tertinggi sepanjang April dan Mei lalu.-REUTERS










