Puluhan maut akibat cuaca panas luar biasa di India

Puluhan maut akibat cuaca panas luar biasa di India

GOLONGAN wanita mengisi bekalan air dalam bekas sebagai persiapan menghadapi cuaca panas luar biasa di Pali, India. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 34 orang meninggal dunia dalam tempoh dua hari akibat gelombang haba yang dilaporkan semakin kritikal di negeri Uttar Pradesh, utara India.

Fenomena itu menyebabkan pihak berkuasa kesihatan di negeri itu menasihatkan orang ramai, terutamanya golongan warga emas berusia atas 60 tahun tidak melakukan aktiviti luar rumah pada waktu siang.

Semua kematian yang direkodkan melibatkan penduduk berusia atas 60 tahun dan mempunyai masalah kesihatan di daerah Ballia, kira-kira 300 kilometer ke tenggara Lucknow.

Sebanyak 23 kematian dilaporkan pada Khamis lalu dan 11 lagi pada Jumaat di daerah tersebut.

Ketua Pegawai Perubatan Ballia, Jayant Kumar berkata, kebanyakan penduduk yang meninggal dunia disebabkan oleh serangan jantung, strok dan cirit birit.

“Mereka semua sudah pun mempunyai masalah kesihatan dan keadaan semakin buruk disebabkan oleh gelombang haba ini,” katanya.

Jabatan Meteorologi India menunjukkan suhu panas di Ballia mencecah paras maksimum iaitu 42.2 darjah Celsius pada Jumaat lalu, iaitu meningkat 4.7 darjah Celsius berbanding suhu normal.

Dalam pada itu, gelombang haba yang berlaku turut memberi kesan terhadap bekalan elektrik di seluruh negara, menyebabkan bekalan air terputus, pendingin hawa tidak dapat dipasang, selain ada juga penduduk melancarkan protes.

Ketua Menteri Uttar Pradesh, Yogi Adityanath memberi jaminan kerajaan sudah mengambil semua langkah yang sewajarnya untuk memastikan bekalan air dan elektrik mencukupi di negeri itu.

“Setiap kampung dan bandar harus menerima bekalan elektrik dan air yang mencukupi sepanjang musim panas luar biasa ini.

“Jika berlaku sesuatu yang tidak kena, sila laporkan segera kepada pihak berkuasa,” ujarnya.

Sepanjang gelombang haba berlaku, India kebiasaannya mengalami masalah bekalan air. – AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN