SACRAMENTO: Seorang penyampai radio dari San Diego di California menarik perhatian ramai dengan menubuhkan sebuah micronation atau negara mikro baharu yang dikenali sebagai Slowjamastan.
Malah, lelaki itu juga melantik diri sendiri sebagai `Sultan’ bagi wilayah seluas 4.45 hektar di California.
Lapor Daily Mail, Randy ‘R Dub’ Williams pernah mengunjungi lebih 190 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di seluruh dunia.
Setelah itu, Williams membuat keputusan untuk menubuhkan negara berkenaan yang ditadbir dibawah peraturan sendiri.
“Saya sudah melawat beberapa tempat luar biasa yang ramai orang mungkin tidak berpeluang untuk mengunjunginya.
“Jadi, fokus saya seterusnya adalah menubuhkan negara sendiri,” katanya kepada FOX 5.
Dilaporkan, seperti kebanyakan negara lain, Slowjamastan juga akan mempunyai peraturan untuk para penduduknya.
Antara tindakan dilarang termasuk memakai kasut getah Crocs, makan keju bertali tanpa menariknya dan memainkan muzik mumble rap.
Negara mikro itu masih belum diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) walaupun pasport Slowjamastan Williams sudah dicop 16 negara.
Williams juga mendakwa ketika ini, kira-kira 5,000 orang sudah mendaftar untuk menjadi warganegara Slowjamastan.
Negara seperti Slowjamastan adalah bebas tetapi tidak diiktiraf secara rasmi oleh negara berdaulat.
Dianggarkan terdapat 70 negara seumpama itu di seluruh dunia.
Tambah Williams, dia mendapat idea menubuhkan Slowjamastan selepas sebuah negara mikro dikenali sebagai Republik Molossia ditubuhkan di Nevada.