Pengendali mesin ATM ditahan curi 1.1 bilion rupiah

Pengendali mesin ATM ditahan curi 1.1 bilion rupiah

SUSPEK berusia 27 tahun (tengah) ditahan di Balai Polis Tana Tidung kelmarin.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kegiatan licik seorang pengendali mesin pengeluaran wang automatik (ATM) mencuri lebih 1.1 bilion rupiah (RM340,938) untuk digunakan dalam aktiviti perjudian online akhir tumpas selepas dia ditahan polis di Kalimantan Timur kelmarin.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Tana Tidung, Adi Purwanto berkata, suspek berusia 27 tahun itu melakukan perbuatan tersebut di Tideng Pale di daerah Sesayap dari November hingga Disember tahun lalu. 

Menurut Adi, kes itu terbongkar selepas pihak bank menjalankan audit dan mendapati terdapat percanggahan fizikal tunai pada mesin ATM di pejabat lama dan pejabat semasa cawangan bank berkenaan.

“Memang benar, suspek adalah pegawai yang bertanggungjawab membuka dan memasukkan wang ke dalam mesin ATM. 

“Namun dia menceroboh mesin tersebut tanpa kebenaran dan perkara ini didedahkan pada Disember lalu apabila audit fizikal yang dijalankan mendapati terdapat perbezaan nombor di mesin ATM pejabat lama sebanyak 600.1 juta rupiah (RM185,996) dan 550 juta rupiah (RM170,422) di pejabat baharu,” jelasnya.

Adi berkata, suspek mencuri dan menceroboh mesin ATM berkenaan setiap kali kehabisan wang akibat tabiat judinya. 

“Suspek sering mengambil duit di mesin ATM terutama pada waktu malam. Selepas duit habis dia akan ambil semula kerana dia mempunyai akses untuk membuka mesin itu.

“Selain itu, dia juga mencuri ketika hendak memasukkan wang ke dalam mesin ATM. Contohnya, jika diarahkan memasukkan wang berjumlah 250 juta rupiah (RM77,479) ke dalam mesin ATM, hanya separuh diletakkan dan selebihnya diambil ke poket sendiri,” katanya dipetik Detik.com.

Suspek kini dilaporkan ditahan di Ibu Pejabat Polis Tana Tidung untuk siasatan lanjut. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN