Menteri ASEAN gesa penubuhan pusat penyelaras kawal jerebu - Utusan Malaysia

Menteri ASEAN gesa penubuhan pusat penyelaras kawal jerebu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Berikutan musim kemarau tahun ini yang dijangka berpanjangan dan intensif akibat fenomena El Nino, menteri-menteri ASEAN menekankan pentingnya menyegerakan penubuhan Pusat Penyelaras ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan di Indonesia.

Menteri dan pegawai yang menghadiri mesyuarat jawatankuasa pemandu kementerian subrantau mengenai pencemaran jerebu rentas sempadan pada Khamis (8 Jun) dalam satu kenyataan berkata, pusat itu akan memudahkan pelaksanaan yang lebih pantas dan berkesan dalam semua aspek Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.

Mesyuarat itu dihadiri menteri dan pegawai bagi alam sekitar, tanah, kebakaran hutan dan jerebu dari Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan timbalan ketua setiausaha Sekretariat ASEAN.

Jawatankuasa itu turut menggesa perbincangan mengenai perjanjian negara tuan rumah bagi pusat itu disambung untuk memuktamadkan segera perkara berkenaan.

Berdasarkan model iklim semasa, Pusat Meteorologi Khusus ASEAN meramalkan 70 hingga 80 peratus peluang untuk El Nino meningkat antara Jun hingga September dan Dipol Lautan Hindi (IOD) yang positif berkembang antara Jun dan Julai.

“Kedua-dua fenomena iklim ini berkemungkinan akan mengakibatkan hujan kurang daripada keadaan biasa di sebahagian besar rantau ASEAN selatan dalam beberapa bulan akan datang,” menurut kenyataan itu.

Negara-negara itu juga menegaskan kesediaan untuk memberi bantuan memadam kebakaran jika ada permintaan selain meningkatkan penyelarasan mengurangkan kebakaran tanah dan hutan apabila keadaan memerlukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya