Lelaki dakwa keliling dunia tanpa naiki pesawat - Utusan Malaysia

Lelaki dakwa keliling dunia tanpa naiki pesawat

THOR Pedersen mengaku berjaya mengelilingi semua negara di dunia dengan hanya menaiki pengangkutan darat dan laut.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COPENHAGEN: Seorang lelaki Denmark mendakwa menjadi individu pertama berjaya melawat semua negara di dunia tanpa menaiki penerbangan.

Lapor Daily Mail, Thor Pedersen sanggup meninggalkan kerjaya dalam bidang perkapalan dan logistik untuk memulakan pengembaraannya pada Oktober 2013.

Pedersen merancang menghabiskan purata tujuh hari di setiap negara menggunakan pengangkutan darat dan laut sepenuhnya dengan anggaran akan pulang semula ke tanah airnya menjelang akhir tahun 2017.

Namun menurut Pedersen, pengembaraan itu mengambil masa enam tahun lebih lama  berikutan isu visa yang menyebabkan dia berdepan pelbagai kelewatan sepanjang perjalanan dan pandemik  Covid-19 turut memaksanya menghabiskan masa dua tahun di Hong Kong.

Bulan lalu, lelaki berusia 44 tahun itu akhirnya menamatkan misi pengembaraan epik sejauh 358,999 kilometer itu selepas tiba di Maldives dengan menaiki kapal kontena.

“Saya mendapat tahu bahawa tiada seorang pun dalam sejarah yang berjaya pergi ke setiap negara di dunia tanpa menaiki kapal terbang dan saya merasakan mempunyai peluang untuk melakukan sesuatu yang luar biasa.

“Saya menghabiskan pengembaraan ini kebanyakannya menggunakan  pengangkutan awam dengan menaiki beratus-ratus bas, kereta api dan feri namun sempat juga menumpang menaiki bot nelayan dan kapal kontena.

“Perjalanan bas paling lama saya lalui di Brazil selama 54 jam dan menaiki kereta api paling lama pula selama lima hari di Russia. Saya turut menikmati 27 hari di atas kapal yang memberi saya masa untuk membaca, bersenam dan melihat ikan paus. Ia adalah satu perjalanan yang indah,” jelasnya.

Pengembaraan tersebut dibiayai oleh sebuah syarikat tenaga serta kutipan dana dan Pedersen dilaporkan hanya membelanjakan 16 pound (RM92.57) sehari sepanjang perjalanannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya