Ledakan sonik gegar Washington, penduduk panik - Utusan Malaysia

Ledakan sonik gegar Washington, penduduk panik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Ledakan sonik menggegarkan Washington semalam ekoran dua jet pejuang mengejar sebuah pesawat ringan yang memasuki ruang udara di kawasan ibu kota Amerika Syarikat (AS) itu tanpa kebenaran sebelum ia terhempas ke kawasan pergunungan di barat daya Virginia.

Penduduk di bandar dan kawasan luar bandar melaporkan bunyi seakan guruh, yang menggegarkan tingkap dan dinding rumah mereka, sekali gus menyebabkan kekeliruan dalam media sosial.

Jet pejuang F-16 ‘bertindak balas kepada pesawat Cessna 560 Citation V yang tidak responsif dan terbang di ruang udara Washington, DC, dan utara Virginia,” kata Markas Pertahanan Aeroangkasa Amerika Utara (NORAD) dalam satu kenyataan.

Dua jet pejuang itu berlepas dari Pangkalan Bersama Andres. Mereka mengejar pesawat itu sebelum ia terhempas di kawasan pergunungan di barat daya Virginia.

Seorang pegawai AS berkata, jet pejuang itu tidak menyebabkan nahas berkenaan.

NORAD menyatakan ia  cuba untuk menghubungi juruterbang Cessna itu sehingga ia terhempas.

Media AS melaporkan pihak tentera tidak menembak jatuh pesawat itu.

Tiada maklumat lanjut disediakan mengenai juruterbang atau jika terdapat penumpang dalam pesawat ringan berkenaan.

Sumber lain memaklumkan, pesawat ringan berkenaan dipercayai berada dalam mod pemanduan automatik dan tidak memberi tindak balas kepada pihak berkuasa.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dalam kenyataannya, berkata pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Perbandaran Elizabethton di Elizabethton, Tennessee, menuju ke Lapangan Terbang Long Island MacArthur di New York, kira-kira 80 kilometer di timur Manhattan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya