JAKARTA: Kualiti udara di bandar raya ini dilaporkan semakin buruk berikutan peningkatan jumlah kenderaan dan sektor industri yang tidak mengamalkan kaedah mesra alam.
Keadaan udara yang semakin kotor menyebabkan banyak penduduk Jakarta mengeluh dan menggesa pihak berkuasa supaya mengambil langkah memulihkan kualiti udara dengan segera.
Hal ini kerana, ramai dalam kalangan penduduk mengadu mereka mengalami masalah kesihatan seperti batuk dan terkena serangan asmi ekoran udara yang kotor.
Turut senada, Ketua Fraksi Parti Nasional Demokrat (Nasdem) Jakarta, Wibi Andrino yang meminta pihak berkuasa bandar raya ini meniru negara lain dalam mengatasi masalah pencemaran udara.
Katanya, satu daripada langkah yang boleh diambil pihak berkuasa Jakarta adalah dengan merealisasikan peralihan kenderaan jenis bahan bakar minyak (BBM) kepada kenderaan elektrik.
“Sejak beberapa tahun terakhir, sejumlah bandar di seluruh dunia sudah mengambil langkah drastik untuk mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor dengan meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam dan menggunakan sumber yang boleh diperbaharui.
“Kaedah itu mungkin boleh dipraktikkan di bandar ini kerana sehingga kini, tiada satu pun usaha konkrit diambil oleh pihak berkuasa tempatan untuk membendung pencemaran udara,” katanya.
Sehubungan itu, Wibi meminta Pejabat Gabenor Jakarta, Heru Budi Hartono meniru penyelesaian pentadbiran Bangkok yang menggalakkan semua pekerja pejabat melakukan tugasan dari rumah bagi mengurangkan kenderaan atas jalan raya.
“Di Bangkok, ketik kualiti udara direkodkan semakin buruk, pihak berkuasanya terus menutup sekolah dan meminta semua golongan pekerja melakukan tugasan dari rumah, tidak perlu masuk ke pejabat,” ujarnya.
Sementara itu, Wibi juga mencadangkan supaya melakukan peralihan kenderaan elektrik di Jakarta bagi mengurangkan pelepasan gas karbon.










