Keputusan upah warga asing di Nusantara cetus kritikan - Utusan Malaysia

Keputusan upah warga asing di Nusantara cetus kritikan

PEMANDANGAN tapak pembinaan ibu kota Nusantara di Penajam Paser Utara di Kalimantan Timur, Indonesia.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Hasrat kerajaan Indonesia untuk mengambil tenaga kerja asing bagi menyelia projek mega di Nusantara mencetuskan kritikan daripada pelbagai pihak.

Ahli politik Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P),  Nusyirwan Soejono berkata, profesionalisme rakyat Indonesia tidak wajar dihina berhubung keputusan itu.

Malah, beliau yang merupakan ketua unit industri, pekerjaan dan keselamatan sosial PDI-P berkata, rakyat Indonesia mampu membina serta menyelia pembinaan infrastruktur utama seperti jalan raya dan bangunan.

“Jadi, jika anda menjemput warga asing untuk menyelia pembinaan ibu negara baharu, ia mencemarkan keupayaan profesional di sini,” katanya kepada Channel News Asia.

Tambahnya, aspek keselamatan berkaitan dengan bangunan penting seperti Istana Presiden  paling sesuai dikendalikan oleh rakyat Indonesia memandangkan Nusantara bakal menjadi ibu negara baharu.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Pusat Pembaharuan Ekonomi (CORE) Indonesia, Mohammad Faisal berkata,  kerajaan harus mempertimbangkan perbelanjaan untuk pekerja asing terutamanya apabila pembinaan Nusantara yang dianggarkan berjumlah AS$35 bilion (RM163.67 bilion) datang daripada tabung negara.

“Selain kualiti, apa yang lebih murah? Jika anda menggunakan warga asing dengan standard antarabangsa, secara automatik, kosnya akan lebih tinggi daripada menggunakan tenaga kerja domestik.

“Adakah ia berbaloi walaupun kualitinya bagus? Mengapa tidak dilakukan oleh pakar tempatan dengan gaji yang lebih rendah? Kerana ia berpunca daripada kekangan bajet, lebih-lebih lagi pembangunan Nusantara masih bergantung kepada belanjawan negara,” jelasnya.

Ketua suku Paser Balik di Penajam Pasar Utara, Sibukdin berkata, penduduk asal di Nusantara sudah mula berasa tersisih kerana mereka tidak terlibat dalam pembinaan dan tidak mendapat manfaat daripada ibu kota baharu itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN