Kalimantan Tengah sedia hadapi kebakaran hutan, jerebu

Kalimantan Tengah sedia hadapi kebakaran hutan, jerebu

PIHAK berkuasa Kalimantan Tengah sudah merancang beberapa langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kebakaran hutan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Pihak berkuasa wilayah Kalimantan Tengah mengisytiharkan status siap siaga darurat bencana kebakaran hutan dan tanah selama 167 hari bermula 29 Mei sehingga 10 November ini.

Jurucakap pihak berkuasa tempatan, Nuryakin berkata, penetapan status tersebut melibatkan semua daerah dalam wilayah tersebut.

Katanya, mesyuarat penyelarasan juga sudah diadakan pada minggu lepas merangkumi perbincangan mengenai bagaimana masalah kebakaran hutan dapat diatasi segera.

“Kali ini, pihak berkuasa berdepan cabaran yang lebih sukar untuk menangani kebakaran hutan dan tanah berbanding tiga tahun lalu.

“Hal ini kerana keadaan cuaca yang lebih ekstrem, iaitu kemarau yang berpanjangan, selain ditambah dengan gelombang haba.

“Keadaan itu secara tidak langsung menyebabkan kebakaran hutan yang berlaku boleh menjadi semakin serius, sekali gus mencetuskan jerebu teruk,” katanya seperti yang dilaporkan antaranews.

Dalam pada itu, jurucakap Badan Pencegahan Bencana dan Pemadam Kebakaran Kalimantan Tengah, Ahmad Toyib berharap penetapan status tersebut dapat meningkatkan kesedaran masyarakat supaya tidak memburukkan situasi dengan membakar tapak pertanian mereka atau melakukan pembakaran terbuka.

“Semua pihak perlu bekerjasama bagi mengelakkan wilayah kita dilanda jerebu atau lebih teruk, asap kebakaran itu tersebar ke tempat lain sehingga mencetuskan pencemaran udara.

“Pihak berkuasa juga akan melakukan kawalan dari udara untuk memantau mana-mana kawasan yang dilanda kebakaran,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN