JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) berharap ekosistem kenderaan elektrik (EV) di Indonesia akan siap pada tahun 2027-2028.
Malah, pemimpin itu juga optimis Indonesia akan mempunyai industri EV yang amat besar pada masa hadapan.
“Kami baru sahaja menyediakan industri pelopor, industri eksport, EV, bateri litium. Insyaallah ia dijangka selesai pada 2027 atau 2028.
“Tetapi ia harus di semak dengan baik, perkembangan selama berapa bulan, sama ada terdapat kemajuan atau tidak,” katanya sepertimana dilaporkan CNN Indonesia.
Jokowi yakin Indonesia mampu memiliki industri EV yang besar pada masa hadapan berikutan mempunyai sokongan bahan mentah mineral yang cukup banyak di negara itu.
Justeru, Jokowi menegaskan Indonesia tidak perlu bimbang dengan langkah negara lain yang mengenakan larangan eksport bahan mentah ke luar negara.
“Ini kerana jika Indonesia berasa bimbang maka sudah tentu industri kenderaan elektrik tidak dapat direalisasikan,” katanya.
Menurut Jokowi, sekiranya Indonesia terus maju dengan polisi EV yang sedia ada, maka beliau yakin mampu mencapai matlamat industri kenderaan elektrik menjelang 2027-2028.
Tambah beliau, projek EV itu perlu dipantau rapi agar kes projek pembinaan peleburan yang dijanjikan PT Freeport Indonesia tidak berulang lagi.
Katanya, sebelum ini PT Freeport berjanji untuk membina peleburan namun sehingga kini ia masih belum direalisasikan.