JAKARTA: Jawatankuasa Pengelola Ibadah Haji (PPIH) Kementerian Hal Ehwal Agama Indonesia merayu kepada jemaah haji supaya tidak terlalu banyak berswafoto di hadapan Kaabah.
Jurucakap PPIH, Akhmad Fauzin berkata, terlalu banyak mengambil gambar swafoto di hadapan Kaabah boleh melalaikan dan mengganggu jemaah khusyuk dalam beribadah.
Beliau turut menggariskan beberapa larangan ketat yang perlu diberi perhatian oleh para jemaah haji di kawasan Masjidilharam, antaranya membentangkan kain rentang untuk swafoto berkumpulan dan swafoto di hadapan Kaabah dengan objek menyerupai manusia dan haiwan, seperti wayang.
Lapor antaranews, pihak berkuasa Arab Saudi akan mengenakan tindakan terhadap jemaah haji yang melanggar peraturan.
“Oleh hal yang demikian, jawatankuasa sentiasa mengingatkan jemaah supaya tumpukan ibadah haji, khususnya semasa berada di Masjidilharam. Tolong elakkan melakukan pelbagai aktiviti yang tidak berkaitan dengan ibadah,” kata Akhmad.
Selain itu, PPIH juga meminta para jemaah mengehadkan aktiviti luar hotel dan masjid susulan suhu panas di Madinah dan Mekah yang mencecah sehingga 34 darjah Celsius.
“Sentiasa gunakan selipar atau kasut ketika keluar hotel dan masjid untuk melindungi kaki daripada panas.
“Jika selipar atau kasut hilang, jangan paksa diri pulang ke hotel dengan berkaki ayam, minta bantuan petugas yang ada,” ujarnya.
Berdasarkan data Sistem Maklumat Berkomputer Bersepadu Haji (Siskohat), sehingga 5 Jun lalu, seramai 73,577 jemaah haji Indonesia sudah tiba di Madinah.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 15 jemaah meninggal dunia di tanah suci.










