JAKARTA: Indonesia berada di kedudukan keenam bagi negara yang mempunyai syarikat pemula (start up) paling banyak di dunia berdasarkan data yang dikeluarkan Startuprangking.com.
Terdahulu, Timbalan Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi, Rudy Salahuddin, ketika Sidang Kemuncak Kewangan Terbuka 2023 di sini, menyatakan sehingga kini, Indonesia mempunyai lebih 2,400 syarikat pemula dengan prospek besar dalam ekonomi digital.
Menerusi data tersebut, Amerika Syarikat (AS) mendahului dengan 74,944 syarikat pemula, diikuti India (15,405), United Kingdom (6,833), Kanada (3,712) dan Australia (2,638).
Dengan lebih 2,000 syarikat pemula, Indonesia menjadi satu-satunya negara ASEAN yang berada pada kedudukan 10 teratas negara yang paling banyak mempunyai syarikat pemula.
Dalam pada itu, Rudy memaklumkan, kebanyakan syarikat pemula di negara ini melibatkan sektor e-dagang serta teknologi kewangan (fintech).
Katanya, pada tahun lalu Indonesia menyumbang sebanyak AS$77 bilion (RM360 bilion) atau sekitar 40 peratus daripada nilai transaksi digital di rantau ASEAN.
Jumlah itu juga diramalkan melonjak dua kali ganda kepada AS$30 bilion (RM140 bilion) pada tahun 2025.










