JAKARTA: Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif memaklumkan kerajaan kini dalam perancangan untuk menambah sehari lagi konsert kumpulan Coldplay menjadi dua hari di Jakarta pada November ini.
Rancangan itu dibuat ekoran ada permintaan daripada pelbagai pihak supaya konsert kumpulan itu ditambah kepada sehari lagi.
Menterinya, Sandiaga Uno berkata, konsert Coldplay di Singapura akan berlangsung selama empat hari iaitu dari 23 hingga 27 Januari 2024.
“Di Indonesia, konsert itu akan berlangsung sehari iaitu pada 15 November di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.
“Ramai yang tanya kepada saya jika konsert Coldplay boleh ditambah sehari lagi kerana ramai yang tidak dapat beli tiket kerana sudah habis dijual,” katanya.
Jelas Sandiaga, beliau sudah bertanya kepada pihak penganjur berhubung perkara berkenaan dan kini menunggu pengesahan sama ada boleh ditambah sehari lagi atau sebaliknya.
Beliau juga menyokong jika konsert itu ditambah sehari lagi kerana secara tidak langsung membuka peluang lebih ramai orang datang ke Jakarta, termasuk pelancong asing.










