JAKARTA: Kementerian Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia menyatakan hanya 10 negara anggota ASEAN diberi pengecualian tidak perlu visa untuk memasuki Indonesia.
Selain 10 negara berkenaan, mana-mana pengembara yang ingin memasuki negara ini perlu memohon Visa on Arrival (VoA).
Ketua Pengarah Imigrasi, Silmy Karim berkata, sebelum ini, pengembara dari 169 negara boleh memasuki Indonesia tanpa visa.
Namun, perkara itu berubah ketika pandemik Covid-19, selain kerajaan mahu mengawal kemasukan golongan pelancong yang ‘sering melakukan perkara tidak diingini’ di Indonesia.
Jelas beliau, kerajaan mahu ‘golongan warga asing yang berkualiti’ masuk ke negara ini bagi memastikan pembangunan dan kemajuan Indonesia berjalan lancar.
“Sebagai ganti peraturan kemasukan tanpa visa, mulai 2021, pengembara yang ingin masuk ke Indonesia perlu memohon VoA. Setakat ini, sebanyak 92 buah negara dikenakan VoA untuk masuk ke Indonesia.
“Tujuan kerajaan menetapkan hanya 10 negara ASEAN sahaja dibenarkan masuk ke Indonesia tanpa viasa adalah berdasarkan beberapa faktor seperti keselamatan, kesihatan dan keuntungan buat negara ini,” kata Simly.
Dalam pada itu, Silmy mengakui, penerapan VoA itu menyaksikan jumlah kemasukan pelancong asing ke Indonesia, menerusi lapangan terbang di Bali dan Jakarta menurun pada tahun ini.
“Sebelum ini, jumlah kemasukan pelancong asing ke Indonesia menerusi lapangan terbang Bali adalah seramai 16,268 orang dan 5,945 melalui Jakarta.
“Kini, jumlah kemasukan pelancong asing melalui Bali adalah 12,917 orang dan 5,057 menerusi lapangan terbang di Jakarta,” ujarnya.