Gerabak rollercoaster tergelincir, pengunjung maut tercampak

Gerabak rollercoaster tergelincir, pengunjung maut tercampak

POLIS mengawal kawasan di taman hiburan Gröna Lund, Stockholm di Sweden. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

STOCKHOLM: Seorang maut manakala sembilan lagi pengunjung cedera termasuk kanak-kanak dalam satu kemalangan melibatkan rollercoaster di sebuah taman hiburan di ibu negara Sweden.

Lapor The Guardian, beberapa saksi mendakwa sebahagian gerabak rollercoaster Jetline tergelincir dari landasan di taman tema Gröna Lund, sehingga menyebabkan pengunjung menaikinya tercampak ke tanah.

Jurucakap Gröna Lund, Annika Troselius menyifatkan kejadian itu sebagai `kemalangan tragis’.

“Ini adalah tragis dan mengejutkan, malangnya seorang pengunjung meninggal dunia dalam insiden itu,” katanya.

Polis kini menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian itu.

Menurut polis, mangsa yang cedera termasuk tiga dalam keadaan parah sedang dirawat di hospital.

Seorang wartawan, Jenny Lagerstedt yang mengunjungi taman hiburan itu bersama keluarganya memberitahu saluran SVT bahawa dia berada berhampiran lokasi kejadian apabila terdengar bunyi kuat dan menyedarinya berpunca daripada gegaran struktur landasan semasa kemalangan itu.

“Suami saya ternampak pengunjung yang menaiki gerabak rollercoaster itu jatuh ke tanah,” katanya.

Dalam pada itu, Gröna Lund menerusi satu kenyataan memaklumkan taman tema berusia 140 tahun itu ditutup buat sementara waktu sehingga diberitahu kelak.

Berdasarkan laman sesawang taman hiburan itu, rollercoaster Jetline mampu mencapai kelajuan sehingga 90 kilometer sejam (km/j) dengan ketinggian 30 meter, selain sudah membawa lebih sejuta pengunjung setiap tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN