KYIV: Pihak berkuasa Ukraine mengesahkan sekurang-kurangnya 41 orang masih hilang dalam banjir disebabkan empangan hidroelektrik utama di selatan negara itu yang pecah.
Angka korban akibat kemusnahan empangan Kakhovka itu meningkat kepada 10 orang di wilayah Kherson.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri Ukraine, Igor Klymenko menerusi Telegram.
“Buat masa ini, kami mendapat tahu kira-kira 10 orang maut di Kherson.
“Kami juga mendapati seramai 41 orang masih gagal dikesan,” katanya.
Terdahulu, ribuan penduduk terpaksa dipindahkan dari kediaman masing-masing selepas sebahagian empangan hidroelektrik utama era Soviet di selatan Ukraine yang dikawal Russia dilaporkan musnah.
Dilaporkan, hampir 100 bandar kecil dan perkampungan dinaiki air selepas empangan Kakhovka pecah.
Ukraine dan Russia saling menuding jari menyalahkan antara satu sama lain sebagai dalang bertanggungjawab.
Kyiv mendakwa tentera Russia meletupkan empangan hidroelektrik itu dalam usaha terdesak menangkis serangan balas Ukraine.
Sebelum ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kemusnahan empangan Kakhovka itu mampu mencetuskan bencana alam berskala besar dan krisis kemanusiaan yang teruk bagi ratusan ribu penduduk.
Malah, pertubuhan antarabangsa itu menegaskan impak bencana dan krisis kemanusiaan berkemungkinan menjadi lebih meluas.
Empangan Kakhovka amat penting untuk wilayah itu kerana membekalkan air kepada petani dan penduduk serta loji janakuasa nuklear Zaporizhzhia.
Empangan itu juga merupakan saluran penting yang membekalkan air kepada Crimea yang diduduki oleh Russia. – AFP/AGENSI










