EDINBURG: Bekas Menteri Pertama Scotland, Nicola Sturgeon ditahan bagi membantu siasatan terhadap penyelewengan dana Parti Nasional Scotland (SNP).
Bagaimanapun, bekas pemimpin itu kemudian dibebaskan tanpa dikenakan sebarang tuduhan sementara menunggu siasatan lanjut.
Lapor Al Jazeera, polis Scotland mengesahkan seorang wanita berusia 52 tahun ditahan sebagai suspek.
“Individu itu ditahan berhubung siasatan berterusan terhadap pembiayaan dan kewangan SNP,” jelasnya dalam kenyataan.
Menurut polis, wanita itu ditahan pada pukul 10:09 pagi (waktu tempatan) dan dibebaskan tanpa tuduhan kira-kira pukul 5.24 petang.
“Kami tidak dapat mengulas lanjut memandangkan siasatan sedang berjalan,” jelasnya.
Ia merupakan penahanan ketiga dalam siasatan kes penyelewengan dana SNP yang menggemparkan sistem politik Scotland.
April lalu, suami Sturgeon, Peter Murrell yang merupakan bekas eksekutif SNP, turut ditahan bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, jurucakap pemimpin itu memaklumkan Sturgeon memberi kerjasama sepenuhnya berhubung siasatan kes berkenaan.
Katanya, pemimpin itu turut menghadiri soal siasat yang diaturkan polis.
Sementara itu, Sturgeon menerusi kenyataan disiarkan di Twitter mendakwa tidak terlibat dalam sebarang kesalahan membabitkan dana SNP.
“Saya berasa amat kecewa dan terkejut mendapati diri saya berada dalam situasi demikian.
“Saya tidak akan mahupun pernah melakukan apa-apa yang membahayakan SNP atau negara ini.
“Memandangkan kes ini masih dalam siasatan, saya tidak boleh menjelaskan secara terperinci.
“Bagaimanapun, saya mahu menegaskan bahawa saya sebenarnya tidak bersalah dan tidak terlibat dalam sebarang kesalahan,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan pihak berkuasa bakal melakukan soal siasat berhubung perolehan dana lebih 600,000 pound (RM3.48 juta) oleh SNP yang didakwa disalah guna untuk tujuan tertentu.
Bagaimanapun tiada maklumat lanjut berhubung jenis penyalahgunaan dana SNP yang dikaitkan dengan Sturgeon didedahkan kepada umum.










