CARDIFF: Sebuah penginapan bawah tanah yang terletak di lombong terbiar dan kira-kira 419 meter di bawah pergunungan Snowdonia di Wales, United Kingdom (UK), dinamakan sebagai hotel terdalam di dunia.
Lapor Oddity Central, hotel Deep Sleep mempunyai empat kabin katil berkembar peribadi dan sebuah bilik gua dilengkapi katil berkembar, serta ruang makan dan kemudahan tandas.
Penginapan itu terletak jauh di dalam bahagian lombong batu Cwmorthin yang sudah lama ditinggalkan, diiklankan sebagai hotel terdalam di dunia.
“Para pengunjung yang ingin bermalam di penginapan demikian hanya perlu membayar sehingga 550 pound (RM3,206) untuk satu malam selain harus merentasi laluan `curam dan mencabar’ melalui lombong lama untuk sampai ke sana,” jelas laporan.
Hotel Deep Sleep dirasmikan pada April lalu oleh syarikat, Go Below dan hanya beroperasi satu malam setiap minggu iaitu pada setiap Sabtu.
“Pengunjung boleh membuat tempahan secara dalam talian dan pada petang Sabtu memulakan pengembaraan mereka dengan ke pangkalan Go Below berhampiran bandar Blaenau Ffestiniog, lokasi pemandu menunggu untuk menemani mereka ke hotel bawah tanah.
“Selepas berjalan selama 45 minit melalui pergunungan, pengunjung bersiap sedia di kotej kecil dan bersedia untuk turun ke lombong Cwmorthin yang terbiar dan terbesar di dunia,” jelas laporan itu.
Menurut laporan, laluan mencabar itu terdiri daripada tangga lama, jambatan terbiar dan garisan kendur selain mengambil masa kira-kira sejam untuk sampai ke hotel berkenaan.
“Sebaik sahaja sampai di hotel Deep Sleep, para pengunjung akan dijamu dengan minuman dan hidangan gaya ekspedisi sebelum dibawa ke bilik tempahan bagi menikmati tidur yang lena,” jelas laporan.
Suhu di hotel terdalam dunia itu kekal 10 darjah Celsius sepanjang tahun, malah ia masih selesa disebabkan kabin berpenebat tebal.
Ia juga menawarkan aliran air, bekalan elektrik dan juga Wifi melalui kabel internet sepanjang satu kilometer dari antena 4G di permukaan.
Hotel Deep Sleep meraih gelaran ‘hotel terdalam di dunia’ selepas mengatasi rekod dipegang oleh penginapan bawah tanah di Lombong Perak Sala Sweden yang terletak pada kedalaman 154 meter.