Berebut hak jaga anak, lelaki tikam bekas isteri - Utusan Malaysia

Berebut hak jaga anak, lelaki tikam bekas isteri

SUSPEK ditahan polis selepas menikam bekas isteri dan bakal suaminya dalam kejadian di Karimun, Riau. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KARIMUN: Seorang lelaki didakwa menikam seorang wanita dan bakal suaminya dalam satu kejadian di Karimun, Kepulauan Riau kelmarin.

Menurut polis, suspek merupakan bekas suami kepada wanita tersebut.

Jurucakap polis Karimun, Gidion Karo Sekali berkata, suspek menikam mangsa kerana bergaduh berebut hak penjagaan anak selepas mereka bercerai.

“Kejadian berlaku ketika suspek datang ke rumah bekas isterinya dan meminta hak penjagaan anak perempuan mereka diberikan kepadanya.

“Namun, bekas isterinya enggan dan berlaku pertengkaran antara mereka.

“Disebabkan emosi, suspek menikam mangsa di bahagian dada dan bakal suaminya yang berada di lokasi kejadian turut ditikam di perut,” katanya.

Dalam keadaan cedera, bakal suami mangsa datang ke balai polis sambil dibantu penduduk setempat untuk membuat laporan sebelum ke hospital.

Tidak lama kemudian, suspek ditahan polis bersama senjata tajam yang digunakan untuk menikam kedua-dua mangsa.

Sementara itu, keadaan mangsa dan bakal suaminya dilaporkan stabil selepas mendapatkan rawatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN