SURABAYA: Seorang bekas guru besar sekolah rendah di Surabaya, Jawa Timur mengakui menggunakan sejumlah wang milik Koperasi Pegawai Republik Indonesia (KPRI) Tegar untuk membeli tanah dan bina rumah.
Media tempatan melaporkan, bekas guru besar yang hanya dikenali sebagai MI itu menggunakan wang koperasi sebanyak 2.3 bilion rupiah (RM717,072).
“Ketika saya jadi bendahari koperasi selama 10 tahun, saya akui sudah gunakan sebahagian duit untuk bina rumah dan pasar.
“Saya tidak ambil sekali gus, saya gunakan sedikit demi sedikit,” katanya.
Selepas perbuatannya terbongkar, kediaman bekas guru besar itu didatangi sekumpulan guru yang berang dan memintanya mengganti balik semua duit yang sudah digunakan.
Menurut beberapa guru, mereka mula mengesyaki MI mula menggelapkan duit koperasi sejak 2019, namun tidak mempunyai bukti untuk mendakwanya.
“Kami mahu MI ganti balik semua duit yang digunakan untuk kepentingan sendiri.
“Dia tidak amanah, duit itu adalah titik peluh semua guru yang bernaung di bawah koperasi, mana boleh digunakan sesuka hati, terutamanya untuk kepentingan sendiri,” tegas wakil guru dalam koperasi itu.
Dalam pengakuannya, MI memberitahu dia juga membeli tanah untuk anak-anaknya menggunakan duit koperasi tersebut.










