Geng Bhai aktif ‘rampas’ treler lumpuh

Geng Bhai aktif ‘rampas’ treler lumpuh

AZRY Akmar Ayob (depan) menunjukkan barang rampasan kes samun treler Geng Bhai di pekarangan Balai Polis Trafik Daerah Maran, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Polis melumpuhkan sindiket samun dan curi kenderaan berat yang aktif ‘merampas’ treler bermuatan besi serta kabel drum paip polivinil klorida (PVC) menerusi OP Kargo selepas melakukan beberapa siri tangkapan di tiga negeri, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, sepanjang Oktober dan November lalu, sebanyak dua kes samun melibatkan treler bermuatan besi dan kabel drum PVC serta dua kes kecurian kenderaan termasuk forklift dan motosikal direkodkan di beberapa daerah di negeri ini, dengan nilai kerugian keseluruhan mencecah RM659,000.

Beliau berkata, berikutan itu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Pahang melancarkan operasi khas bagi menjejak dan menumpaskan sindiket terbabit.

“Hasil risikan, kita mengenal pasti kumpulan jenayah terancang yang bergerak aktif merentasi beberapa negeri. Dari 21 hingga 29 November lalu, kami melancarkan siri serbuan di Senawang (Negeri Sembilan), Klang (Selangor) dan Bentong (Pahang).

“Hasil operasi itu membawa kepada penahanan enam lelaki berusia 24 tahun hingga 56 tahun,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Polis Trafik Maran, di sini hari ini.

Azry Akmar berkata, sindiket yang dikenali sebagai ‘Geng Bhai’ itu menggunakan modus operandi yang konsisten, iaitu menyasarkan treler yang berhenti berehat di tepi jalan sebelum menyerang pemandunya.

“Mangsa diikat, ditutup mata dan dibawa meronda sebelum ditinggalkan di tepi jalan. Sementara itu, treler dibawa ke lokasi peleraian yang ditetapkan untuk memunggah muatan ke sebuah stor disewa khas di luar Pahang.

“Siasatan awal mendapati kumpulan ini mengaku terbabit dalam lapan kes di Pahang dan Selangor,” katanya.

Menurut beliau, ketua kumpulan berusia 56 tahun itu berpengalaman luas dalam kegiatan samun kargo dan kini berada dalam tempoh parol yang sepatutnya tamat pada Mac tahun depan.

“Walaupun masih dalam parol, dia kembali menggerakkan jenayah dengan merekrut ahli baharu yang dikenalinya semasa berada di dalam penjara,” katanya.

Beliau berkata, semua enam suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah dan dadah yang mana polis giat mengesan tiga lagi suspek yang telah dikenal pasti.

“Semua suspek yang ditahan kini direman dan dibawa ke IPD Bentong untuk sambungan reman. Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 379A Kanun Keseksaan, iaitu samun dan curi kenderaan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×