ROSTOV-ON-DON: Kumpulan tentera upahan Wagner yang dalam perjalanan ke Moscow untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Presiden Vladimir Putin ‘menukar fikiran’ apabila membatalkan hasrat tersebut bagi mengelakkan pertumpahan darah.
Ketua pasukan tentera itu, Yevgeny Prigozhin yang merupakan bekas sekutu Putin dan pengasas tentera Wagner berkata, anggotanya sudah berada kira-kira 200 kilometer dari Moscow kelmarin sebelum membuat keputusan menghentikan kemaraan.
Terdahulu, Moscow menempatkan pasukan tenteranya sebagai persediaan menghadapi ketibaan tentera Wagner, selain mengarahkan semua penduduk duduk dalam rumah.
Tentera Wagner menguasai bandar Rostov yang terletak ratusan kilometer ke selatan Russia sebelum melakukan konvoi dan memindahkan semua kereta kebal serta kenderaan berperisai menuju ke Moscow.
“Dalam tempoh 24 jam, kami sudah berada kira-kira 200 kilometer dari Moscow.
“Ketika itu, tidak berlaku sebarang pertempuran antara tentera kami dengan tentera Russia.
“Kami sedar, tindakan kami akan menyebabkan berlakunya pertumpahan darah dan sehubungan itu, kami memutuskan untuk kembali semula ke kem lapangan seperti yang dirancang sebelum ini,” kata Prigozin yang lengkap beruniform tentera dalam satu video.
BELARUS JADI ORANG TENGAH
Dalam pada itu, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, di bawah perjanjian yang diuruskan oleh Presiden Belarus, Alexander Lukashenko, kes jenayah yang dikenakan terhadap Prigozhin kerana melakukan pemberontakan bersenjata akan digugurkan.
Kemudian, Prigozhin akan berpindah ke Belarus dan tentera Wagner yang menyertai rancangan pembelotannya tidak akan dikenakan sebarang tindakan dari Russia.
Peskov yang turut menyifatkan peristiwa itu sebagai ‘tragis’ memberitahu, Lukashenko menawarkan diri untuk menjadi orang tengah, dengan persetujuan Putin kerana beliau sudah mengenali Prigozhin secara peribadi sejak 20 tahun lalu.
ELAK PERTUMPAHAN DARAH
Jelas Peskov, perjanjian tersebut juga dilihat menjadi ‘langkah terbaik’ untuk mengelakkan konfrontasi dan pertumpahan darah antara tentera Wagner dan Russia.
Beliau bagaimanapun enggan memaklumkan sama ada Putin membuat sebarang tawaran kepada Prigozhin, selain menjamin keselamatannya selepas bersetuju mengundurkan semua tenteranya.
PANDANGAN UKRAINE
Selain itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyatakan peristiwa yang berlaku secara tidak langsung menunjukkan ‘Russia sebenarnya tidak mampu mengawal semua perkara’.
“Hari ini, dunia boleh melihat sebenarnya Russia tidak mampu mengawal semua perkara yang mereka ingini.
“Russia sendiri tidak dapat mengagak apa yang akan berlaku dan bagaimana mereka akan hadapinya,” katanya. – REUTERS