JAKARTA: Kementerian pelancongan Indonesia sedang meneliti rancangan melarang orang ramai mendaki gunung di Bali berikutan laporan salah laku kumpulan pelancong yang semakin meningkat di kawasan berkenaan.
Perkara itu disahkan Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Sandiaga Uno berikutan pengumuman Gabenor Bali, I Wayan Koster pada akhir Mei lalu untuk melarang pelawat mendaki di 22 kawasan pergunungan pulau yang dianggap tempat suci oleh warga beragama Buddha itu.
Larangan itu dilaporkan turut melibatkan masyarakat tempatan, pelancong dari bahagian lain di Indonesia serta pelancong luar negara namun tidak termasuk mereka yang mengakses kawasan pergunungan itu untuk tujuan keagamaan dan ritual.
“Saya mahu larangan yang dicadangkan itu diluluskan kepada peraturan tempatan terlebih dahulu sebelum dikuatkuasakan, yang memerlukan kelulusan Parlimen tempatan.
“Sudah tentu, selepas ia dimuktamadkan, ia akan dijelaskan oleh Gabenor Bali,” katanya.
Bagaimanapun jelasnya, pihak berkuasa masih belum memuktamadkan rancangan itu berikutan kebimbangan masyarakat tempatan dan pemilik perniagaan di Bali yang mungkin kehilangan sumber pendapatan akibat cadangan larangan itu.
Bercakap pada sidang media yang sama, Ketua Pelancongan Bali, Tjokorda Bagus Pemayun berkata larangan tersebut dicadangkan bagi memelihara pulau yang didominasi penduduk Hindu itu.
“Jadi kami mendapat kesepakatan daripada pemimpin budaya dan agama di Bali untuk menjaga gunung yang dianggap suci ini. Sebab itu kami mengutamakan pelancongan budaya mengikut moto baharu kami iaitu pelancongan budaya yang berkualiti dan bermaruah,” katanya.
Beliau menambah, terdapat lebih 186 malim gunung di Bali yang akan dijadikan pekerja kontrak sebaik larangan itu menjadi peraturan.
“Kami akan mengubah mereka menjadi pekerja kontrak dan jenis tugasnya akan kami bincangkan nanti. Jadi kami tidak akan menghentikan usaha mereka, tetapi kami menyediakan penyelesaian,” jelasnya.-AGENSI