JAKARTA: Hasrat seorang bakal jemaah untuk menunaikan ibadah haji tahun ini tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia dalam pesawat ketika perjalanan ke tanah suci, kelmarin.
Media tempatan melaporkan, bakal jemaah itu dikenali sebagai Sholeh Ahmadi Jamburi, 65 tahun yang berasal dari Klaten, Jawa Tengah.
Jurucakap Jawatankuasa Pengelola Ibadah Haji (PPIH) Solo, Gentur Rachma Indriadi berkata, Sholeh menaiki penerbangan Garuda pada Sabtu lalu untuk ke tanah suci.
Selepas beberapa jam penerbangan, Sholeh mengadu badannya berasa letih dan tidak selesa.
“Jemaah lelaki itu mula mengalami sakit perut dan keadaannya dipantau pasukan paramedik yang ada dalam pesawat.
“Keadaan Sholeh semakin teruk selepas keluar dari tandas dan pasukan paramedik tidak dapat membantu jemaah itu untuk berasa lebih baik.
“Beberapa jam selepas itu, jantungnya berhenti berdegup dan jemaah itu disahkan meninggal dunia,” kata Gentur.
Dalam pada itu, jenazah Sholeh dijangka dibawa pulang ke tanah air bagi urusan pengebumian.
Pemergian Sholeh menjadikan jemaah haji Indonesia yang meninggal dunia kini seramai 22 orang.










