BANDA ACEH: Sebanyak 590 orang gagal dalam peringkat awal pemilihan calon legislatif Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Aceh bagi Pilihan Raya Umum (Pemilu) 2024 kerana tidak menghadiri ujian kebolehan membaca Al-Quran.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas (KIP) Aceh, Syamsul Bahri berkata, terdapat 1,781 orang mendaftar menjadi calon legislatif di bandar itu dan lima daripadanya merupakan warga bukan Islam.
Jelasnya, undang-undang peringkat pilihan raya di Aceh mewajibkan setiap individu beragama Islam yang ingin menjadi calon legislatif DPR untuk menghadiri ujian membaca al-Quran sebelum berjaya ke peringkat seterusnya.
“Ada 1,186 orang yang hadir semasa ujian bacaan al-Quran yang ditetapkan dari 6 hingga 12 Jun.
“Seramai 590 yang tidak hadir dianggap gugur sebagai calon.
“Sebenarnya tiada halangan, kita beri masa yang sangat lama, jika tak dapat hadir atau sedang mengerjakan ibadah haji, boleh sahaja membuat ujian melalui panggilan video,” kata Syamsul Bahri kepada CNN Indonesia.
Menurut Syamsul, pihaknya akan segera mengumumkan nama calon legislatif yang hadir dan diisytiharkan tidak boleh membaca al-Quran melalui mesyuarat pleno yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.
“Bagi yang tidak hadir atau tidak lulus ujian bacaan al-Quran, KIP Aceh akan menulis surat kepada parti-parti politik yang diwakili mereka.
“Parti-parti yang calon legislatifnya tumbang akan diminta untuk menggantikan dengan calon lain. Kemudian kita buat semula ujian membaca al-Quran sehingga selesai peringkat pertama,” katanya.










