20 cedera serangan udara di Ukraine - Utusan Malaysia

20 cedera serangan udara di Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Serangan udara yang melanda kawasan penempatan di bandar Dnipro, tengah Ukraine semalam mencederakan 20 orang, dengan tiga kanak-kanak cedera parah.

Presiden Volodymyr Zelensky menyalahkan Russia atas serangan itu dan berkata ramai lagi mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.

Serangan udara Russia ke atas Ukraine meningkat sejak beberapa minggu lalu, begitu juga serangan balas oleh Ukraine termasuk dalam wilayah Russia, sekali gus meningkatkan ketegangan.

Sejak berbulan lalu, Kyiv berkata ia sedang bersiap sedia untuk serangan besar-besaran terhadap pasukan pendudukan Moscow dan dilihat mahu menuntut semula wilayah yang hilang sejak serangan Russia pada Februari 2022.

Zelensky berkata, serangan semalam memusnahkan dua bangunan kediaman.

“Russia menyerang bandar itu. Mereka melancarkan serangan di celah dua bangunan kediaman dua tingkat menyebabkannya runtuh dan memerangkap mangsa di bawah,” katanya melalui Facebook.

Video yang disiarkan Zelensky menunjukkan pekerja penyelamat mencari di bawah runtuhan bangunan yang musnah, dengan bunyi gerudi industri.

“Lima kanak-kanak cedera akibat tindakan musuh dalam komuniti Pidhorodnenska,” kata gabenor wilayah Dnipropetrovsk, Serhiy Lysak.

“Keadaan tiga kanak-kanak lelaki itu kini dinilai doktor sebagai serius manakala jumlah yang cedera meningkat kepada 20 orang dan daripada jumlah ini, 17 dimasukkan ke hospital.

“Di bawah runtuhan rumah, pasukan penyelamat terus mencari mangsa. Mungkin ada lagi kanak-kanak di sana,” katanya.

Pada masa sama semalam, bedilan oleh Ukraine membunuh dua orang di Belgorod Russia, wilayah sempadan yang dilanda serangan berulang minggu ini, kata gabenor tempatan.

Perkampungan sempadan Belgorod dilanda bedilan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan kematian terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan seramai tujuh orang maut minggu ini. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN