Ulang tahun Nakba: 75 tahun rakyat Palestin ditindas Zionis

Ulang tahun Nakba: 75 tahun rakyat Palestin ditindas Zionis

PENDUDUK Palestin mengelak daripada terkena gas pemedih mata yang dilepaskan oleh tentera Israel ketika serbuan di bandar Nablus, Tebing Barat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH: Beribu-ribu penduduk dari seluruh Tebing Barat yang dijajah, berhimpun dengan mengibarkan bendera Palestin bagi menandakan ulang tahun ke-75 ‘Nakba‘ atau ‘malapetaka’ yang dikaitkan dengan penubuhan Israel.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 760,000 penduduk Palestin melarikan diri atau diusir keluar dari kediaman mereka pada tahun 1948.

Di Ramallah, penduduk membawa sepanduk tertera ‘Kembali’ dan mengibarkan imej kunci lama iaitu simbol nasib penduduk Palestin selain menuntut pengiktirafan hak mereka untuk dikembalikan.

Majlis memperingati Nakba tahun ini diadakan ketika ketegangan semakin memuncak dalam konflik Israel-Palestin, yang sudah meragut lebih 170 nyawa di kedua-dua pihak sejak awal tahun ini.

Seramai 35 orang yang kebanyakkannya merupakan penduduk Palestin, terbunuh dalam pertempuran selama lima hari antara Israel dan kumpulan pejuang di Semenanjung Gaza, minggu lalu.

Israel ditubuhkan pada 14 Mei 1948 susulan undian PBB pada November 1947 yang membahagikan mandat British menjadikan Palestin kepada sebuah negara Arab dan Yahudi.

Sehari selepas itu, lima tentera Arab menyerang rejim Israel.

Dalam peperangan ketika itu, Israel berjaya mengalahkan tentera Arab.

Menurut pertubuhan Israel Zochrot, semasa konflik, lebih 600 komuniti dihapuskan atau dibuang penduduk oleh tentera Yahudi.

Sejak itu, penduduk Palestin menuntut hak mereka dikembalikan sambil menegaskan ia sama dengan penyerahan demografi.

Menurut PBB, setakat ini, terdapat 5.9 juta pelarian Palestin yang tinggal di Tebing Barat, Semenanjung Gaza, Jordan, Lubnan dan Syria.

Israel menyambut Hari Kemerdekaan ke-75 pada 26 April lalu mengikut kalendar Yahudi.

Sementara itu, PBB buat pertama kali memperingati ulang tahun Nakba di ibu pejabatnya di New York selepas satu resolusi diluluskan pada November lalu.

Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmud Abbas yang mempunyai status pemerhati PBB, bercakap dalam bahasa Arab pada sesi khas Jawatankuasa Pelaksanaan Hak-Hak Penduduk Palestin Tidak Boleh Dihapuskan.

“Dengan berlandaskan undang-undang dan resolusi antarabangsa, kami menuntut Israel menghormati resolusi ini atau menggantung keahlian Israel dalam PBB,” katanya.

Ketika berucap, Mahmud juga memaklumkan Nakba `tidak bermula pada tahun 1948 dan tidak pernah berhenti selepas masa itu’. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.