KYIV: Ukraine mendakwa pasukan pertahanan udara menembak jatuh enam peluru berpandu hipersonik Russia dalam serangan misil semalaman.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pertahanan Ukraine, Oleksiy Reznikov dalam satu kenyataan dimuat naik di laman Twitter.
“Satu lagi kejayaan untuk tentera udara Ukraine. Pasukan pertahanan udara menembak jatuh enam peluru berpandu Kinzhal hipersonik Russia dan 12 peluru berpandu lain,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan seminggu selepas Ukraine memaklumkan pasukan tenteranya menembak jatuh peluru berpandu hipersonik Kinzhal pertama menggunakan sistem dibekalkan oleh AS.
Terdahulu, Ukraine mendakwa pihaknya berjaya memusnahkan semua 18 peluru berpandu dan sembilan dron yang dilancarkan oleh Russia semalaman.
Presiden Russia, Vladimir Putin yang melancarkan peluru berpandu Kinzhal pada 2018, menyifatkannya sebagai `senjata ideal’ yang sangat sukar untuk dipintas.
Ukraine membuat rayuan kepada sekutunya untuk mengukuhkan pertahanan udaranya ketika Russia menyerang negara itu semasa musim sejuk.
Kyiv menerima sistem pertahanan udara Patriot AS yang pertama pada pertengahan April, yang dikatakan digunakan untuk menembak jatuh peluru berpandu Kinzhal pertama.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan aset mahupun senjata yang digunakan untuk menembak jatuh Kinzhal.
Sementara itu, Datuk Bandar Vitali Klitschko berkata, beberapa serpihan jatuh di beberapa daerah Kyiv sehingga tiga orang tercedera. – AFP










