KYIV: Komando tertinggi tentera Ukraine mendakwa tenteranya berjaya memusnahkan sebanyak 35 dron jenis Shahed buatan Iran yang dilancarkan Russia di beberapa lokasi berbeza di seluruh negara itu.
Staf Am Angkatan Tentera Ukraine dalam kemas kini hariannya menjelaskan, Russia turut melancarkan 16 serangan peluru berpandu malam tadi, khususnya di bandar Kharkiv, Kherson, Mykolaiv dan wilayah Odesa.
Katanya, sebanyak 61 serangan udara dan 52 serangan daripada sistem tembakan salvo roket berat dilancarkan sejak beberapa hari lalu yang menyasarkan kedudukan tentera Ukraine dan kawasan berpenduduk.
“Malangnya, terdapat orang awam yang maut dan cedera sementara bangunan tinggi, rumah persendirian dan infrastruktur awam lain juga rosak,” katanya.
Bagaimanapun media tidak dapat mengesahkan laporan itu.
Dalam pada itu, Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko berkata, sekurang-kurangnya lima orang cedera di ibu negara berikutan kerosakan yang dilakukan kepada bangunan dan infrastruktur di negara itu.-REUTERS









