JAKARTA: Konvoi Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dilaporkan menggunakan jalan yang rosak ketika meninjau keadaan kemudahan itu di daerah Lampung Tengah, baru-baru ini.
Pemimpin itu memilih untuk mengambil jalan rosak itu dan bukannya laluan yang disediakan oleh pemerintah wilayah Lampung.
Perkara itu didedahkan oleh Timbalan Sekretariat Protokol, Akhbar dan Media Pejabat Presiden, Bey Machmudin kepada portal Kompas.com.
Bey mengesahkan pemerintah wilayah pada asalnya menyediakan laluan berlainan bagi konvoi membawa Jokowi.
Katanya, meskipun laluan jalan disediakan itu sudah pun diselenggara namun ia masih tidak dibaiki sepenuhnya.
“Presiden memilih untuk menggunakan jalan belum dibaiki. Laluan itu jauh berbeza daripada apa yang dijadualkan oleh pemerintah wilayah.
“Jokowi mahu merasai pengalaman memandu jalan-jalan yang rosak di Lampung,” katanya.
Tambah beliau, Jokowi menaiki kereta Mercedes sepanjang perjalanannya melalui jalan yang rosak itu.
“Walaupun menggunakan kereta model itu, Jokowi masih dapat merasainya ketika melalui jalan yang rosak.
“Jadi, beliau juga dapat merasakan rungutan diluahkan penduduk Lampung.
“Malah, sepanjang memandu di laluan itu, indikator kereta terpaksa dipasang kerana keadaan permukaan jalan yang beralun dan penuh berlubang,” katanya.