KYIV: Tentera Russia melancarkan serangan dron ke atas ibu negara Ukraine, Kyiv semalaman, sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya seorang penduduk terbunuh.
Lapor BBC, ia merupakan serangan udara baharu yang berskala besar.
Datuk Bandar Kyiv, Vitaliy Klitschko mengesahkan seorang lelaki maut apabila serpihan bangkai dron jatuh berhampiran sebuah stesen minyak.
Dalam kejadian itu, seorang wanita dilaporkan mengalami kecederaan.
Berdasarkan laporan tentera udara Ukraine, secara keseluruhannya, Russia melancarkan sebanyak 54 dron kamikaze dengan menyasarkan beberapa lokasi di Ukraine.
Bagaimanapun, jelas laporan itu, pasukan pertahanan udaranya berjaya menembak jatuh 52 dron terbabit.
Menurut pihak berkuasa, di Kyiv sahaja, tentera Ukraine berjaya menembak jatuh lebih 40 dron Russia.
Setakat ini, maklumat itu tidak dapat disahkan.
Terdahulu, amaran serangan udara diaktifkan di 12 wilayah Ukraine dari Volyn di barat laut ke Dnipropetrovsk terletak di tenggara negara itu.
Klitschko menerusi catatan di media sosial menggesa penduduk kekal berada di rumah atau pusat perlindungan.
Menurut beliau, sekurang-kurangnya dua bangunan tinggi di daerah berlainan di ibu negara terbakar selepas terkena serpihan dron yang jatuh.
Pegawai Kyiv juga melaporkan beberapa gudang di daerah Holosiyivsky terbakar dalam kejadian itu.
Dilaporkan, serangan dron itu dilancarkan ketika ibu negara Ukraine bersiap sedia menyambut hari ulang tahun penubuhan Kyiv secara rasmi 1,500 tahun lalu.
Terdapat juga laporan mengenai letupan berlaku di bandar Zhytomyr, barat Kyiv.