RAMALLAH: Seorang remaja Palestin berusia 17 tahun maut ditembak oleh tentera Israel semasa melakukan serbuan di Tebing Barat yang diduduki.
Perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Palestin ketika rejim Israel mendakwa pasukan tenteranya melepaskan tembakan ke arah sekumpulan individu bersenjata.
Menurut kementerian, Jibril Mohammed Kamal al-Ladaa meninggal dunia selepas ditembak di bahagian kepala.
Jelasnya, kejadian itu berlaku di kem pelarian Aqabat Jabr berhampiran bandar Jericho.
Pegawai kesihatan Palestin memberitahu enam orang lagi mengalami kecederaan termasuk tiga dalam keadaan serius.
Sementara itu, tentera Israel mendakwa sekumpulan individu bersenjata melepaskan tembakan ke arah pasukan tenteranya yang kemudian membalas serangan tersebut dengan tembakan.
Katanya, tiada anggota tentera yang cedera dalam kejadian tembakan itu.
Jelasnya, tiga orang berjaya ditahan oleh pasukan tenteranya.
Sekurang-kurangnya 101 penduduk Palestin terbunuh akibat serbuan besar-besaran tentera Israel setakat tahun ini. – AFP










