JAKARTA: Kereta api berkelajuan tinggi (HSR) pertama Indonesia yang menghubungkan Jakarta dan Bandung, bandar keempat paling ramai penduduk di republik itu menamatkan ujian percubaan pada kelajuan 180 kilometer sejam (kmj) pada Isnin, apabila tiba ke destinasi dalam tempoh sejam.
Ujian percubaan bersepadu pertama itu bakal menyaksikan kelajuan kereta api meningkat secara beransur-ansur kepada 385kmj pada minggu akan datang. Perjalanan kereta api pada Isnin mengambil masa kurang separuh daripada perjalanan kereta yang memakan masa dua setengah jam antara kedua-dua bandar.
Memetik laporan The Straits Times, tempoh perjalanan HSR akan dikurangkan lagi kepada kira-kira 40 minit sebaik perkhidmatan beroperasi pada kelajuan maksimumnya. Permulaan operasi komersial dijadualkan pada Ogos.
Pembinaan projek kereta api sepanjang 142km itu bermula pada 2016. Ia adalah sebahagian daripada Inisiatif Jalur dan Laluan China dan menjadikan Indonesia negara Asia Tenggara pertama memiliki perkhidmatan HSR.
Ujian percubaan komprehensif pada Isnin menggunakan kereta api pemeriksaan. Ia membabitkan pemeriksaan prestasi struktur trek, getaran, bekalan kuasa cengkaman, kerja komunikasi dan isyarat, dan sistem lain dengan kesemuanya mempamerkan prestasi yang baik.
Kelajuan teknikal maksimum dikatakan 385kmj dan percubaan terakhir dalam tempoh tiga minggu dijangka mencapainya.
Kereta api laju Maglev Jepun mempunyai kelajuan sehingga 603kmj, diikuti kereta api TGV Perancis pada 574.8kmj, dan Shanghai Maglev di tempat ketiga, mencapai kelajuan 460kmj. Kereta api Frecciargento Itali mencapai kelajuan maksimum 300kmj.
Presiden Indonesia Joko Widodo merancang melancarkan operasi komersial kereta api itu pada 18 Ogos. Landasan kereta api itu dilengkapi dengan sensor pintar, keupayaan pemantauan gempa bumi dan sistem amaran awal.
“Dengan menugaskan dan mengoptimumkan interaksi sistem, kami dapat memastikan bahawa keseluruhan HSR memenuhi keperluan reka bentuk,” kata Chen Dongsheng, seorang jurutera kanan di Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Kebangsaan.
Beliau berkata HSR Jakarta-Bandung dipacu elektrik dan tidak mempunyai pelepasan karbon ketika operasi selain pantas, mempunyai kapasiti besar dan lebih cekap tenaga berbanding pengangkutan jalan raya dan udara.