THE HAGUE: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menetapkan tarikh 6 Jun depan bagi mendengar hujah pasukan peguam Russia dan Ukraine berhubung tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh pada tahun 2014.
Barisan hakim akan mendengar dakwaan Ukraine bahawa Moscow melanggar Perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan menyokong puak pemisah pro-Russia yang dikenal pasti oleh Mahkamah Belanda sebagai pihak bertanggungjawab dalam nahas itu.
November lalu, Mahkamah Belanda mensabitkan dua bekas ejen perisikan Russia dan seorang pemimpin pemisah Ukraine atas jenayah pembunuhan kerana membantu mengatur sistem peluru berpandu Russia digunakan untuk menembak jatuh pesawat itu hingga menyebabkan kematian 298 penumpang dan anak kapal.
Malah, ketiga-tiga lelaki berkenaan yang dibicarakan secara ‘in absentia’, dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.
Pesawat MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.
Tragedi itu berlaku ketika pertempuran memuncak antara pemisah pro-Russia dan tentera Ukraine.
Keputusan mahkamah Belanda juga mendapat Russia mempunyai `kawalan keseluruhan’ ke atas pasukan Republik Rakyat Donetsk di timur Ukraine bermula pertengahan Mei 2014.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa menetapkan empat hari perbicaraan iaitu pada tarikh 6, 8, 12 dan 14 Jun untuk mendengar kedua-dua pihak dalam kes berkenaan.
Kes itu yang difailkan pada tahun 2017, merupakan salah satu daripada dua warga Ukraine yang dibawa terhadap Russia di mahkamah.
Kes lain difailkan selepas insiden pencerobohan Russia pada 2022, tertumpu pada dakwaan Moscow bahawa mereka menyerang Ukraine untuk mencegah isu pembunuhan beramai-ramai.
Lazimnya, ia mengambil masa beberapa tahun kes di ICJ untuk mencapai peringkat perbicaraan mengenai merit kes itu. – REUTERS