Penduduk sekitar loji nuklear Zaporizhzhia dipindahkan, IAEA beri amaran pencemaran radiasi - Utusan Malaysia

Penduduk sekitar loji nuklear Zaporizhzhia dipindahkan, IAEA beri amaran pencemaran radiasi

STESEN Janakuasa Nuklear Zaporizhzhia diancam bahaya jika Russia terus menguasainya. -REUTERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Ketua badan pemerhati kuasa nuklear Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran keadaan di sekitar stesen nuklear Zaporizhzhia yang dikuasai Russia menjadi semakin tidak dapat diramalkan dan berpotensi berbahaya.

Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi, berkata ia susulan pemindahan sedang dijalankan di bandar berhampiran Enerhodar, yang diarahkan oleh gabenor tempatan dilantik Russia.

Justeru, beliau menggesa langkah untuk memastikan operasi itu selamat.

“Keadaan umum di kawasan berhampiran loji kuasa nuklear Zaporizhzhia menjadi semakin tidak dapat diramalkan dan berpotensi berbahaya.

“Saya amat prihatin terhadap risiko keselamatan dan perlindungan nuklear yang sebenar yang dihadapi oleh loji itu.

“Kita mesti bertindak sekarang untuk mencegah ancaman kemalangan nuklear yang teruk dan akibat yang berkaitan dengan penduduk dan alam sekitar,” kata Grossi di laman web agensi itu.

Kali terakhir Grossi melawat stesen Zaporizhzhia iaitu pengeluar tenaga nuklear terbesar di Eropah adalah pada Mac lalu sebagai sebahagian daripada usaha kedua-dua pihak mendapatkan perjanjian mengenai perlindungan bagi memastikan operasi selamat loji itu.

Dilaporkan, tentera Russia merampas loji Zaporizhzhia beberapa hari selepas Presiden, Vladimir Putin mengarahkan pencerobohan pada Februari 2022.

Tembakan kerap berlaku berhampiran kemudahan itu, dengan setiap pihak menyalahkan satu sama lain.

Loji itu terletak di wilayah di bawah kawalan Russia, dengan ramai kakitangan yang mengendalikannya tinggal di Enerhodar di tebing selatan Sungai Dnipro. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya