Pelajar pengsan jalan kaki lapan kilometer ke sekolah - Utusan Malaysia

Pelajar pengsan jalan kaki lapan kilometer ke sekolah

TANGKAP layar menunjukkan Vicky dibantu penduduk setempat selepas pengsan ketika berjalan ke sekolahnya di Bojongsari di Kota Depok, Jawa Barat.-AGENSI

JAKARTA: Kisah pilu seorang pelajar sekolah menengah yang pengsan gara-gara keletihan selepas menempuh perjalanan yang jauh untuk ke sekolah tular di media sosial baru-baru ini.

Lapor Tribunnews, video asal yang dikongsi di laman TikTok menunjukkan remaja dikenali sebagai Vicky terduduk di tepi jalan sementara penduduk setempat memberinya minum sebelum dia dibawa ke kedai makan berhampiran.

“Kepala sangat pening tuan, saya berjalan kaki dari sekolah di Bojongsari. Rumah saya di Ciputat,” kata Vicky ketika ditanya penduduk.

Menurut video itu, jarak antara rumah Vicky dan sekolah sejauh lapan kilometer, namun dia tetap gigih menimba ilmu setiap hari walaupun terpaksa mengharungi perjalanan di bawah terik matahari untuk pergi dan pulang.

Remaja berusia 16 tahun itu juga mengakui terpaksa berjalan kaki sejak dua tahun lalu kerana keadaan ekonomi keluarganya yang serba kekurangan dan tidak mampu membiaya tambang pengangkutan.

Jelas Vicky, bapanya diserang strok sehingga perniagaan ikan hiasannya terpaksa ditutup sementara ibunya pula tidak bekerja.

Malah Vicky juga mengakui melakukan pekerjaan sampingan sebagai penjaga parkir dengan upah sekitar (RM4.60) sehari untuk membantu menampung perbelanjaan persekolahannya.

Kisah Vicky mendapat perhatian Timbalan Datuk Bandar Tangerang Selatan, Pilar Saga Ichsan yang dilaporkan segera melawat keluarga remaja itu selepas video berkenaan tular.

Pilar memaklumkan sudah menawarkan program biasiswa sarjana muda dari Pejabat Pendidikan Kota Tangerang Selatan kepada Vicky dan akan membantu memastikan dua lagi adiknya tidak tercicir daripada persekolahan.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN