GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memperuntukkan dana sejumlah AS$8.5 juta (RM39.3 juta) bagi membantu kira-kira 335,000 penduduk tinggal di kawasan terjejas teruk akibat taufan di Madagascar.
Menurut Pejabat PBB Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), pihaknya bekerjasama dengan kerajaan untuk terus membantu tenggara negara kepulauan itu yang dilanda taufan pada awal tahun ini dan tahun lalu.
“Kami melancarkan projek kemanusiaan bagi membantu seramai 335,000 penduduk yang tinggal di kawasan terkesan.
“Projek ini berjaya dilaksanakan dengan peruntukan AS$8.5 juta (RM39.3 juta) diperoleh daripada Dana Respon Kecemasan.
“Dana itu membolehkan kami menangani krisis di luar perhatian global,” jelas OCHA dalam kenyataan.
Pada Januari lalu, taufan Cheneso membadai Madagascar.
Tahun lalu, taufan Batsirai dan Emnati turut melanda negara itu.
Sementara itu, menurut OCHA, lebih 870,000 penduduk di kawasan terjejas akibat bencana itu di Madagascar masih memerlukan bantuan.
“Tahun ini sebagai sokongan kepada kerajaan, kami sudah membantu 439,000 orang dengan memberi bantuan makanan, bekalan air bersih dan santinasi,” jelas kenyataan itu. – XINHUA