Orang Batam suka masuk Johor dapatkan rawatan di hospital swasta

Orang Batam suka masuk Johor dapatkan rawatan di hospital swasta

PELANCONG Batam sering masuk ke Johor untuk mendapatkan rawatan perubatan di hospital swasta menggunakan feri. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Apabila Jason Grantino mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada September tahun lalu ketika bermain bola keranjang, satu daripada tindakan yang diambil oleh warga Indonesia itu adalah membeli tiket feri ke Johor.

Sambil menahan kesakitan, Grantino yang menetap di Batam sanggup menaiki kerusi roda dan mengharungi perjalanan selama 90 minit di dalam feri untuk tiba di Stulang Laut, Johor Bahru.

Setelah tiba di Johor, lelaki berusia 32 tahun itu menuju ke hospital swasta, iaitu Hospital Pakar Regency berhampiran Pasir Gudang.

Di hospital itu, Grantino sering melakukan pemeriksaan kesihatan tahunan.

Selepas mendapatkan rawatan yang selanjutnya, Grantino dimaklumkan oleh pakar kesihatan di hospital berkenaan bahawa dia semakin pulih dan boleh bermain bola keranjang semula dalam tempoh beberapa bulan lagi.

“Saya sanggup tahan sakit dan mengharungi perjalanan menggunakan feri merentas sempadan hanya untuk mendapatkan rawatan perubatan di Johor.

“Semuanya mengenai kepercayaan. Saya percaya dengan keupayaan Hospital Pakar Regency menyebabkan saya ingin membuat pembedahan ACL di sana.

“Beberapa keluarga saya pernah berdepan dengan pengalaman pahit ketika mendapatkan rawatan perubatan di Batam dan disebabkan itu, saya tidak mahu menerima nasib yang sama,” katanya.

Grantino memberitahu, sepupunya pernah menjalani pembedahan ACL di Batam, namun proses pemulihannya amat perlahan.

Katanya, pengalaman mendapatkan rawatan perubatan di Johor jauh lebih baik dan selepas empat bulan menjalani pembedahan, Grantino sudah mampu berjalan dan bergerak, selain kos rawatan juga lebih murah.

Berikutan kemudahan dan kos yang lebih fleksibel, Johor kini menjadi destinasi pelancongan kesihatan.

PERMINTAAN MENINGKAT

Grantino merupakan seorang daripada pesakit warga asing yang sanggup datang ke Johor untuk mendapatkan rawatan perubatan sejak pintu sempadan dibuka selepas pandemik Covid-19.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan CNA, kebanyakan pelancong asing masuk ke Johor untuk mendapatkan rawatan perubatan ortopedik, obstetrik dan ginekologi, rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF) dan kanser.

KOS LEBIH MURAH

Grantino memaklumkan, dia membayar kira-kira RM30,000 untuk menjalani pembedahan ACL dan rawatan susulan.

Katanya, dia perlu membayar sekitar S$20,000 (RM68,149) jika melakukan prosedur yang sama di Singapura dan 130 juta rupiah (RM39,853) di Batam.

Bagi seorang wanita Singapura, Norfadzilla Rahmat yang kini hamil empat bulan menyatakan dia mendapat pemeriksaan kehamilan di Hospital Columbia Asia Tebrau.

Dengan jarak pemanduan 10 minit dari Woodlands, hospital tersebut menjadi pilihan terbaik untuk dia melakukan pemeriksaan mengandung.

“Sesetengah hospital swasta di Singapura mengenakan bayaran yang amat mahal bagi pemeriksaan yang sama, jadi saya rasa saya sudah membuat pilihan yang terbaik.

“Setakat ini, saya tidak berdepan dengan pengalaman buruk ketika melakukan pemeriksaan mengandung di hospital di Johor, semuanya selesa dan cekap,” ujarnya.

Bagaimanapun, Norfadzilla tetap akan melahirkan anaknya di Singapura bagi memudahkan urusan dokumentasi dan keluarga mengunjunginya.

PELANCONG BATAM PALING BANYAK

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pelancongan Johor, Dr. Mohd Azlan Abdul Jalil pada Mac lalu menyatakan negeri ini menyasarkan untuk membawa masuk sekurang-kurangnya 100,000 pelancong kesihatan pada tahun ini.

Katanya, pada tahun lalu, lebih 141,000 pelancong dari Batam dan Tanjung Balai di Indonesia masuk ke Johor melalui Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya