REYKJAVIK: Majlis Eropah mengemukakan rekod bukti kemusnahan yang dilakukan oleh Russia dalam perang Ukraine bagi membolehkan tuntutan pampasan dibuat pada masa hadapan.
Pada sidang kemuncak berlangsung di Reykjavik, Majlis Eropah turut mendengar gesaan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky yang mahu mendapatkan jet pejuang Barat.
Pemimpin dari Majlis Eropah dianggotai 46 negara itu sepakat menegaskan Russia perlu bertanggungjawab terhadap kemusnahan dicetuskan sepanjang 15 bulan pencerobohan berskala penuh di Ukraine.
Dilaporkan, rekod bukti kemusnahan itu akan disimpan di The Hague.
Dokumen itu bertujuan merekodkan kos ketara akibat pencerobohan Russia di Ukraine pada masa itu.
“Keamanan yang diharapkan mungkin tidak dapat diperoleh tanpa keadilan.
“Saya percaya rekod bukti kemusnahan itu akan meletakkan asas untuk mekanisme pampasan yang lengkap,” kata Zelensky menerusi video ucapan disiarkan pada pembukaan sidang kemuncak itu.
Menurut Zelensky, ketika ini, serangan peluru berpandu balistik dan dron ke atas Ukraine menunjukkan `Russia berusaha keras untuk meningkatkan keupayaan memusnahkan negaranya’.
Ekoran itu, jelasnya, Ukraine memerlukan senjata tambahan yang merupakan aset pertahanan udara dan peluru berpandu.
“Kita juga memerlukan lebih banyak jet pejuang, tanpa semua aset ini sistem pertahanan udara tidak sempurna,” katanya.
Seruan itu dibuat ketika Zelensky mengadakan lawatan di beberapa ibu negara utama Eropah untuk menggesa penghantaran pesawat tempur Barat.
Setakat ini, pemimpin itu menerima ikrar lebih banyak aset ketenteraan dari Jerman, Perancis dan Britain.
Dilaporkan, Perancis dan Britain memaklumkan akan melatih juruterbang pesawat tempur Ukraine. – AFP