NEW YORK: Bekas jurubank Kumpulan Goldman Sachs, Roger Ng, memohon kepada hakim Amerika Syarikat (AS) menangguhkan permulaan hukuman penjara 10 tahun yang dikenakan terhadapnya kerana ingin menunggu ketibaan anak dan isterinya.
Ng dikenakan hukuman tersebut pada awal bulan lalu selepas disabit kesalahan terlibat dalam penyelewengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguam belanya, Marc Agnifilo, meminta mahkamah membenarkan Ng menangguhkan tempoh hukuman itu sehingga Ogos ini.
Jelas Agnifilo, Ng tidak pernah melihat anak perempuannya yang kini berusia 10 tahun, selama lebih empat tahun sejak dia ditangkap di Malaysia pada 2018.
Katanya, Ng yang bersetuju untuk diekstradisi ke AS bagi menjalani perbicaraan di New York pada awal 2019, turut berdepan dengan pendakwaan di Malaysia sebaik sabaha dia dibebaskan.
“Disebabkan tempoh masa yang lama serta hukuman yang bakal dijalani, kami menghormati permohonan Ng untuk menghabiskan masa dua bulan bersama keluarganya sebelum menyerah diri,” ujar Agnifilo.
Terdahulu, Hakim Daerah AS, Margo Brodie mengenakan hukuman kepada Ng pada 9 Mac lalu dengan memerintahkannya menyerah diri kepada pegawai penjara Persekutuan pada 4 Mei inni.
Sepanjang tempoh tersebut, Ng dilaporkan bebas dalam tahanan rumah dan dipantau pihak berkuasa menggunakan pemantauan elektronik sejak majistret Persekutuan di Brooklyn bersetuju membebaskannya dengan jaminan AS$20 juta (RM89 juta) pada Mei 2019.
Setakat ini, Ng tidak pernah mencabuli syarat pembebasannya.
Namun, Agnifilo memberitahu, pasukan pendakwa raya membantah permohonan untuk menangguhkan hukuman tersebut.