BANGKOK: Seorang lelaki dari selatan Thailand menjadi tular dalam media sosial apabila mendedahkan rahsia badannya sihat adalah dengan minum darah buaya yang dicampur alkohol.
Rojakorn Nanon, 52, memberitahu, dia akan memulakan harinya dengan segelas darah buaya dicampur dengan arak dan mengulangi minuman itu sekali lagi sebelum waktu tidur malam.
Ahli perniagaan itu mendakwa, dia sebelum ini sering berasa letih dan kurang cergas, namun sejak mengamalkan minuman tersebut, Rojakorn berasa lebih segar.
Lelaki itu percaya, khasiat yang terdapat dalam darah buaya membuatkannya semua organnya, saluran darah dan sistem saraf berfungsi dengan baik.
Rojakorn mula mengamalkan bancuhan tersebut sejak dua bulan lalu selepas diperkenalkan oleh seorang pengusaha buaya.
“Pengusaha buaya itu memberitahu, haiwan tersebut hanya memiliki darah yang sedikit, iaitu satu hingga dua gelas.
“Kemudian, dia mencampurkan darah itu dengan alkohol yang dinamakan ‘lao khao’ dan beri saya minum.
“Selepas minum bancuhan tersebut, saya boleh rasakan perubahan dalam badan atau lebih jelas, saya rasa lebih sihat,” katanya.
Selain itu, Rojakorn juga memberitahu, darah buaya turut digunakan ramai pasangan suami isteri yang berusaha dapatkan anak.
Jelasnya, buaya yang berusia tiga dan empat tahun kebiasaannya akan dikorbankan untuk mendapatkan darahnya.
Hal ini kerana, pengusaha buaya percaya darah haiwan itu ‘mempunyai kesan yang amat kuat’ pada usia berkenaan.
Kuantiti darah yang boleh diambil pada usia tersebut hanya 100 milimeter atau bersamaan dua gelas.










