Indonesia terima kuota tambahan 8,000 jemaah haji - Utusan Malaysia

Indonesia terima kuota tambahan 8,000 jemaah haji

JEMAAH haji kumpulan pertama dari Indonesia bakal berlepas 24 Mei ini.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Indonesia mengesahkan menerima tambahan kuota 8,000 jemaah haji tahun ini.

Menteri Agama, Yaqut Cholil Qoumas berkata, jumlah tersebut sudah dimasukkan ke dalam sistem permohonan visa Arab Saudi menerusi aplikasi e-Hajj dan kini menunggu surat rasmi daripada negara itu berhubung perkara tersebut.

“Kementerian Agama akan berkomunikasi secara intensif dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) bagi melaksanakan proses berkaitan kuota tambahan itu,” katanya dipetik CNN Indonesia.

Tahun ini, Indonesia memperoleh kuota seramai 221,000 jemaah yang terdiri daripada 203,320 kuota untuk jemaah haji biasa dan 17,680 kuota untuk jemaah khas.

Menurut Yaqut, proses melunaskan pembiayaan haji bermula dari 11 April hingga 5 Mei lalu namun masih terdapat 14,356 jemaah yang belum membuat pembayaran justeru tempoh berkenaan dilanjutkan hingga 12 Mei ini.

Jelasnya, pihaknya perlu mengadakan mesyuarat segera dengan Suruhanjaya VIII DPR bagi membincangkan pembiayaan untuk kuota tambahan yang diterima sebelum mengesahkan data jemaah yang layak berlepas.

Ketua Pengarah Pengurusan Haji dan Umrah, Hilman Latief berkata, kumpulan pertama jemaah dijadualkan berlepas ke Arab Saudi pada 24 Mei ini dan pihaknya akan berusaha supaya kuota tambahan yang diterima dapat diserap secara maksimum berikutan masa yang ada agak terhad.

“Walaupun jumlah kuota tambahan itu berkurangan berbanding sebelum ini, masih ada masa untuk persiapan. Kami akan cuba yang terbaik supaya kuota itu diserap secara optimum,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN