JAKARTA: Kementerian Kesihatan Indonesia menasihatkan masyarakat di negara ini supaya berwaspada terhadap penularan subvarian Omicron XBB 1.16 atau dikenali sebagai Arcturus.
Penularan subvarian itu merupakan antara penyebab kes jangkitan Covid-19 dilaporkan meningkat di negara ini sejak beberapa minggu lalu.
Jurucakap kementerian, Mohammad Syahril berkata, sikap berjaga-jaga perlu ditingkatkan kerana Indonesia sudah pun menunjukkan pola peningkatan kes jangkitan Covid-19.
Setakat ini, India dan Singapura menjadi dua negara yang merekodkan kes jangkitan Arcturus tertinggi di dunia.
“Jika teliti trend peningkatan kes, Indonesia hampir sama dengan India dan situasi itu amat membimbangkan.
“Kita tidak mahu subvarian baharu ini menyebabkan negara sekali lagi berperang dengan Covid-19,” katanya seperti yang dilaporkan CNN Indonesia.
Katanya, antara usaha kerajaan dalam memerangi penularan kali ini adalah dengan menggalakkan masyarakat mengambil suntikan vaksin Covid-19, dari dua dos utama sehingga dos penggalak.
Indonesia kini juga giat mempromosi vaksin Covid-19 buatannya sendiri yang dikenali sebagai IndoVac dan InaVac.
Kedua-dua vaksin itu dikatakan setaraf dengan vaksin Covid-19 yang digunakan secara meluas sebelum ini di seluruh dunia iaitu Pfizer dan Sinovac.