MOSCOW: Sepasang suami isteri didakwa membunuh bayi perempuan mereka yang berusia lapan bulan sebelum mengerat mayat anak kecil itu dalam satu kejadian di Russia.
Lapor Daily Mail, menurut sumber polis, bayi itu meninggal dunia akibat ditendang oleh bapanya, Yakov Maiboroda, 33, yang sebenarnya mahu memukul isterinya, Anastasia, 23, semasa satu pertikaian berlaku di kediaman mereka.
“Ketika kejadian, bayi perempuan itu secara tidak sengaja terkena pukulan tersebut,” katanya.
Difahamkan, kejadian itu berlaku di bandar Rostov-on-Dov, berhampiran sempadan barat dengan Ukraine.
Pegawai memaklumkan Anastasia yang juga merupakan doktor pelatih bersama suaminya mengerat mayat bayi mereka menggunakan pisau dan pengisar daging elektrik.
Katanya, pasangan itu kemudian memasukkan cebisan mayat bayi dikerat itu ke dalam 13 beg plastik berasingan sebelum menghubungi polis untuk melaporkan kononnya anak mereka diculik.
“Selepas mengesahkan bayi itu sudah meninggal dunia, pasangan suami isteri itu bertindak menyembunyikan mayatnya.
“Ibu mangsa kemudian melaporkan kepada pihak berkuasa kononnya anaknya sudah diculik oleh individu tidak dikenali bagi memberi gambaran seolah-olah mereka tidak terlibat dalam jenayah itu.
“Namun, apabila polis tiba di rumah pasangan itu, mereka menahan Yakov dan Anastasia kerana disyaki membunuh,” katanya.
Portal Baza melaporkan, polis menemukan pisau dan mesin pengisar daging yang mempunyai kesan darah serta 13 beg mengandungi cebisan mayat manusia.
“Penemuan cebisan mayat kanak-kanak dan objek lain di kediaman pasangan itu membuktikan penglibatan mereka dalam jenayah tersebut,” jelasnya.










