LONDON: Kajian terbaharu mendapati, ganja dapat membantu mengurangkan kesakitan yang dialami pesakit kanser.
Lapor Mail Online, penyelidik membuat analisa terhadap 358 pesakit, yang kesemuanya mengambil ganja dalam bentuk perubatan kerana ubat penahan sakit konvensional tidak berkesan sepenuhnya terhadap mereka.
Kesemua pesakit tersebut melaporkan pengurangan lebih 40 peratus rasa sakit yang sering menjejaskan keupayaan mereka untuk menjalani kehidupan seharian.
Kajian daripada Universiti McGill di Montreal itu diterbitkan dalam jurnal BMJ Supportive & Palliative Care.
Pengarang Kanan Kajian, Dr. Antonio Vigano berkata, penyelidik turut mendapati mereka yang mengambil ganja dapat mengurangkan penggunaan ubat penahan sakit opioid yang dikaitkan dengan kesan sampingan seperti loya dan muntah.
“Majoriti pesakit dalam kajian ini diberikan ganja dengan cara menelan minyak sementara 13 peratus lagi menghisapnya.
“Hasil kajian menunjukkan ganja perubatan adalah selamat, berkesan dan boleh membantu orang ramai mengurangkan penggunaan ubat penahan sakit konvensional,” jelasnya.
Ketika ini, terdapat satu bentuk ganja perubatan berlesen di United Kingdom (UK) dipanggil Epidiolex yang digunakan untuk tiga jenis epilepsi kanak-kanak.
Pakar hospital di Pusat Kesihatan Kebangsaan (NHS) juga boleh memberikan semburan berasaskan ganja berlesen dipanggil Sativex untuk masalah kekejangan otot yang disebabkan oleh masalah sclerosis.
Sejenis ganja perubatan dinamakan Nabilone pula boleh diberikan kepada pesakit kanser dewasa untuk mengurangkan loya dan muntah, tetapi hanya apabila ubat konvensional tidak berkesan.